STAR buka pintu kerjasama parti tempatan lain, bentuk gabungan S4S – Jeffrey

 

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menegaskan partinya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan, termasuk Warisan dan kumpulan pembangkang lain, demi perjuangan bersama untuk hak dan keadilan rakyat Sabah.

Jeffrey berkata, sudah tiba masanya semua parti tempatan di negeri itu berganding bahu membina kekuatan politik Sabah tanpa terus bergantung kepada pengaruh luar.

“Kita sepatutnya bersatu dengan parti-parti tempatan lain. Tengok Sarawak bila mereka bersatu, mereka kuat. Bila kuat, mereka boleh capai apa yang mereka mahu. Inilah kekuatan sebenar, kekuatan perpaduan.

“Dua perkara utama perlu dijadikan tunjang perjuangan politik Sabah iaitu perpaduan dan kepimpinan berwibawa.

“Kalau sudah bersatu, kita kena pastikan kepimpinan pun betul. Lihat Abang Jo (Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg), siapa kata kita tidak boleh ikut cara Sarawak? Kita pun boleh,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui dalam program solidarity beramai-ramai sambut ketibaan pemimpin kita, di sini, hari ini.

Katanya, naratif perjuangan STAR kali ini akan berlandaskan semangat ‘Sabah for Sabahan’ dan ‘Justice for Sabah’ yang menuntut hubungan setara antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita mahu hubungan yang setara, bukan di bawah. Sabah, Sarawak dan Malaya ini rakan kongsi yang sama taraf (equal partners).

“Sudah tiba masa kita bina semula negara ini dengan semangat hormat antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas mengenai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jeffrey berkata keputusan mereka itu adalah pilihan sendiri.

Namun, katanya parti akan membuat keputusan rasmi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) tidak lama lagi.

“Itu pilihan mereka, saya tidak larang. Tapi kalau mereka tidak dengar suara rakyat, biarlah rakyat yang tentukan. Saya beri mereka masa seminggu untuk buat pendirian,” katanya.

Jeffrey berkata, STAR kini sedang menilai calon baharu bagi menggantikan lima ADUN terbabit dan akan memberi peluang kepada golongan muda serta ahli setia parti untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ini peluang untuk kita bagi ruang kepada anak muda dan pejuang setia parti. STAR tidak tamak, kita akan bertanding bersama rakan dalam S4S untuk semua 73 kerusi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan hubungan STAR dengan Parti Progresif Sabah (SAPP) kekal baik dan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu sudah dipersetujui.

“SAPP dan STAR memang dari dulu satu pasukan. Pembahagian kerusi pun sudah selesai, tiada masalah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama