‘Sebenarnya, rakyat Sabah rindu era BN’ - AMT UMNO

 

LABUAN: Semua barisan pemimpin dan jentera Barisan Nasional (BN) digesa untuk terus bekerja keras berikutan rakyat diyakini merindui era ketika parti terbabit menerajui pentadbiran di peringkat kerajaan negeri Sabah.

Memetik sumber UMNO Online, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO merangkap Ketua UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata BN telah terbukti membawa kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri terbabit.

Menurut beliau, zaman pemerintahan BN dahulu menyaksikan pembangunan negeri dirancang dengan baik, ekonomi berkembang pesat dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya yakin dan percaya, rakyat Sabah sebenarnya merindui zaman pentadbiran Barisan Nasional iaitu zaman di mana pembangunan dirancang dengan baik, ekonomi negeri berkembang pesat, dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Mohd Rafi menzahirkan harapan agar kepimpinan tertinggi dan jentera parti diberikan kekuatan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, menambat hati rakyat dan terus dekat dengan mereka, bukan hanya menjelang pilihan raya tetapi setiap masa, sebagai tanda kasih dan tanggungjawab kita kepada negeri ini,” katanya.

Mohd Rafi menegaskan bahawa sudah tiba masanya BN bangkit semula membawa sinar harapan dan kemakmuran kepada rakyat Sabah menerusi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan secara rasmi bagi memberi laluan pelaksanaan PRN17 akan datang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama