KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November (Sabtu) sebagai tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November (Sabtu) manakala hari mengundi awal pada 25 November (Selasa).
Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11:59 malam 28 November (Jumaat).
Beliau berkata, bagi menjalankan proses pelaksanaan PRN17, SPR telah melantik 25 pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu oleh 196 penolong pegawai pengurus.
"Manakala bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
"Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka bermula 13 Oktober (Isnin)," katanya.
Katanya, tarikh tutup undi pos bagi kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, PDRM, tentera dan petugas media pada 12 November (Rabu).
Sementara itu, tarikh tutup undo pos bagi kategori 1B melibatkan warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara adalah pada 21 Oktober (Selasa) manakala kategori 1C membabitkan agensi atau organisasi adalah pada 21 Oktober (Selasa).
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Ramlan juga berkata, sebanyak 25 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan manakala 882 pusat mengundi membabitkan 3,558 tempat mengundi (saluran) dan 58 pusat mengundi awal membabitkan ramai 33,002 petugas yang akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, dianggarkan sebanyak RM 116.8 juta diperlukan bagi pelaksanaan PRN Sabah ini.