![]() |
Laman blog malaysiahotmy.blogspot.com yang menyiarkan berita fitnah politik terhadap Limus. |
KUALA PENYU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuala Penyu menafikan dakwaan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury bakal keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Bahagian Kuala Penyu, Jepinus Kamuin berkata pihaknya menerima laporan palsh berkenaan dalam laman blog malaysiahotmy.blogspot.com.
Menurutnya, laporan itu bukan sahaja tidak berasas dan berniat jahat, malah disifatkan gerakan propaganda pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Artikel itu bukan sekadar fitnah biasa. Ia adalah serangan terancang pembangkang yang sudah mula panik dengan sokongan rakyat terhadap Limus di Kuala Penyu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, tindakan pembangkang itu disifarkan kehabisan modal politik dan cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan GRS selepas gagal menawarkan sebarang dasar pembangunan yang meyakinkan rakyat.
“Mereka tahu pengaruh Limus di Kuala Penyu terlalu kuat untuk digugat. Jadi jalan paling mudah bagi mereka ialah menabur fitnah dan menghasut rakyat dengan cerita rekaan,” katanya.
Dalam pada itu, Jepinus turut menyifatkan tindakan menyebarkan berita palsu itu sebagai usaha terdesak untuk menggugat kestabilan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.
“Ini taktik lama pembangkang — cipta kekeliruan, sebar fitnah, kemudian tuduh orang lain tidak stabil. Tapi rakyat Sabah bukan bodoh.
"Mereka tahu siapa yang bekerja untuk negeri, dan siapa yang cuma pandai bercakap di media sosial,” katanya.
Beliau menegaskan Limus kekal setia bersama GRS dan Gagasan Rakyat, serta terus komited membantu merealisasikan dasar pembangunan negeri di bawah teras Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut Jepinus, Limus bukan pemimpin yang bermain politik waktu sempit, sebaliknya sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat, menyalurkan bantuan dan memperjuangkan projek pembangunan luar bandar.
“Selama ini, beliau konsisten memperjuangkan isu infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi di Kuala Penyu.
"Pembangkang hanya tahu mengkritik di media sosial, tapi bila rakyat perlukan pertolongan, mereka tidak kelihatan,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan laporan palsu bagi mengelakkan perpecahan dan kebencian dalam kalangan rakyat.
“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau portal yang terus menyebar fitnah terhadap Limus.
"Rakyat Kuala Penyu sudah muak dengan politik kotor gaya pembangkang.
“Kalau pembangkang fikir mereka boleh menang dengan menipu rakyat, mereka silap besar. Kuala Penyu bukan gelanggang untuk politik putar belit,” katanya.