KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan melaksanakan undi pos untuk pengundi Sabah di luar negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN).
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata pelaksanaan undi pos dilaksanakan berdasarkan harus panduan yang sedia ada.
"Buat masa ini, keputusan berhubung perkara sebegitu masih lagi belum diputuskan oleh SPR.
"Buat masa ini, pengundi-pengundi Sabah yang berada (di luar) Sabah kena baliklah, balik ke sini untuk pengundi.
"Keputusan (garis panduan mengundi pos) kekal macam keputusan asal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media SPR bertempat di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut ditanya pemberita sekiranya akan berlaku pertindihan tempat pengundian khususnya melibatkan sekolah menengah berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menjelang penghujung November ini.
Menjawab soalan terbabit, katanya beliau memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang pertindihan.
"Kita sudah mengambil kira semua kemudahan logistik kita. Tidak akan berlaku sebarang pertindahan tempat kita mengadakan pengundian dengan tempat peperiksaan diadakan.
"Lagipun, proses pengundian ini akan diadakan pada hari Sabtu. Jadi, Insya Allah (proses pengundian) tidak akan menggangu proses peperiksaan SPM," katanya.