SPR mesyuarat 16 Oktober ini tentukan tarikh PRN Sabah



KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan pihaknya telah menerima writ pengisytiharan rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya semalam.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata pembubaran itu dimaklumkan secara rasmi kepada SPR semalam, selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Sebagaimana diperuntukkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting dan perkara berkaitan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Mesyuarat berkenaan dijangka menetapkan tarikh penamaan calon, hari pengundian awal dan hari mengundi rasmi bagi memberi ruang kepada rakyat Sabah menunaikan tanggungjawab mereka memilih kerajaan baharu.

DUN Sabah Ke-16 dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas tamat tempoh mandat lima tahun kerajaan sedia ada.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama