LAHAD DATU: Hasrat seorang lelaki warga Indonesia untuk menangkap ikan tidak kesampaian apabila dia dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika membaiki pukat di Sungai Silabukan, Indrawan Estate, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, mangsa berusia 27 tahun dikatakan berada berhampiran tebing sungai sebelum diserang reptilia berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu sebelum sepasukan anggota bersama agensi penyelamat digerakkan ke lokasi.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Lahad Datu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan pencarian awal di kawasan sungai berkenaan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan pada jam 9.15 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jimmy berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang (OH) dan operasi pencarian masih diteruskan di sekitar sungai terbabit.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan aktiviti di kawasan berisiko yang diketahui menjadi habitat buaya bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ketua Polis Balai Lahad Datu, Inspektor Adzilee Suili di talian 014-8665087 bagi membantu siasatan,” katanya.