Guru Bahasa Melayu tidak mengaku cabul 5 murid perempuan

Azaman Ahmad,56, diiringi anggota polis, selepas mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap lima murid perempuan berusia sembilan tahun pada Mei lalu selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. Foto | SS.

TAWAU : Seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima murid perempuan berusia sembilan tahun, Mei lalu.

Tertuduh guru lelaki berusia 56 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua enam pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap lima murid perempuan darjah tiga yang kesemuanya berumur sembilan tahun di dalam bilik darjah sebuah sekolah rendah dekat sini, pada 8, 13 dan 15 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, bapa kepada enam orang anak itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang mana  tertuduh dalam kes ini mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.

Sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin tidak menawarkan sebarang jaminan memandang kesalahan itu tidak boleh dijamin (non-bailable offence).

Mahkamah bagaimanapun selepas mendengar rayuan tertuduh membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua seorang penjamin serta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan iaitu pasport diserah kepada mahkamah dan dilarang berhubung dengan mangsa atau mana mana saksi pendakwaan serta perlu hadir ke Mahkamah pada setiap sebutan, perbicaraan atau pada bila-bila masa yang Mahkamah kehendaki,

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 17 November depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama