KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menentukan tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 hari ini.
Dalam satu kenyataan, SPR berkata tarikh mesyuarat khas itu akan dimaklumkan kemudian.
“SPR mengambil maklum pengumuman pembubaran DUN Sabah ke-16 pada hari ini.
"SPR telah bersiap sedia untuk melaksanakan pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4), Perlembagaan Negeri Sabah,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Dengan pembubaran itu, PRN Sabah ke-17 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi memberi peluang rakyat memilih kerajaan baharu.
Pilihan raya kali ini dijangka hangat dengan persaingan antara parti-parti utama di negeri ini, termasuk Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
SPR dalam kenyataannya turut memberi jaminan semua persiapan logistik, keselamatan dan teknikal akan dipastikan berjalan lancar bagi menjamin proses pilihan raya yang adil dan telus.