‘Saya biasa berjalan seorang diri’ - Jeffrey hormati keputusan lima ADUN STAR

 


KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan menghormati keputusan lima pemimpin parti terbabit yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, setiap individu mempunyai hak untuk bertindak mengikut hati nurani masing-masing.

"Saya telah melihat perkara ini sebelum ini dan saya tidak terkejut. Dalam hidup saya, saya sering berjalan seorang diri. Tiada yang baru tentang ini.

"Apa yang penting bukanlah berapa ramai berjalan di sisi saya, tetapi sama ada jalan itu betul, dan saya kekal di jalan itu.

"Sesetengah orang mungkin mengambil jalan yang lebih mudah, tetapi saya akan terus berada di jalan yang membawa kepada keadilan untuk Sabah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan sebuah perjuangan tidak pernah dilaksanakan berdasarkan kedudukan atau keselesaan.

"Ia berdasarkan maruah, keadilan dan harapan yang belum dipenuhi oleh rakyat Sabah yang berhak mendapat yang lebih baik.

"Misi saya tetap sama. Saya akan terus berdiri untuk Sabah dan berkhidmat kepada rakyatnya dengan jujur dan berani.

"Mereka yang memilih arah lain tetap menjadi rakan saya, dan saya mendoakan yang terbaik untuk mereka.

"Walau bagaimanapun, tugas saya adalah jelas. Perjuangan diteruskan, dan akhirnya, rakyatlah yang akan memutuskan," katanya.

Hari ini, media melaporkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR akan terus menyokong GRS menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun ini

Perkara terbabit disahkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor selepas Jeffrey memutuskan untuk keluar daripada gabungan terbabit, baru-baru ini.

Antara pemimpin terbabit ialah Timbalan Presiden STAR merangkap ADUN Sook, Datuk Ellron Angin, Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Robert Tawik (Bingkor); Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama