KOTA KINABALU: Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk bertanding menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) menyebabkan keahlian dua parti terbabit dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbatal secara automatik.
Susulan itu, Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mengulangi pendirian pihaknya berkaitan keputusan terbabit berkata ia telah dipersetujui secara sebulat suara dalam Majlis Presiden GRS baru-baru ini.
“Kita telah mengadakan mesyuarat, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) telah memilih untuk mereka menggunakan logo mereka sendiri,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bertempat di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diteruskan bagi memastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), semasa pemerintahan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) inilah, kita mendapat sembilan penurunan kuasa yang diberikan kepada negeri Sabah,” jelasnya.