KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengesahkan dua pemimpin UMNO, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, telah menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Hajiji berkata, kedua-dua mereka yang masing-masing menyandang jawatan Menteri dan Pembantu Menteri dalam kerajaan negeri, telah menyuarakan keinginan untuk terus bersama pentadbiran GRS dalam menghadapi pilihan raya nanti.
“Apabila sampai masa, kita akan tentukan (calon). Tetapi mereka telah nyatakan keinginan untuk mewakili atau bertanding atas tiket GRS.
“Saya tidak halang kerana mereka adalah pemimpin, seorang menteri dan seorang pembantu menteri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda, di sini.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) sedang berjalan dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Kita telah berbincang dengan PH yang diketuai Datuk Saifuddin Nasution dan setakat ini perbincangan berjalan baik menuju ke arah pemuktamadan agihan kerusi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, dakwaan kononnya PH akan diberikan lebih 20 kerusi adalah perkara biasa dalam mana-mana rundingan politik, namun keputusan akhir akan dibuat berdasarkan peluang kemenangan.
“Dalam mana-mana gabungan pun, masing-masing akan minta lebih, tetapi kita mesti praktikal. Kawasan yang ada peluang tinggi untuk menang, itulah yang kita minta supaya peluang kemenangan lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata GRS juga akan mempertimbangkan penyertaan calon muda dalam PRN akan datang memandangkan lebih 50 peratus pengundi dijangka terdiri daripada golongan muda.
“Insya-Allah, kita belum putuskan lagi… masih awal,” katanya ringkas.