KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan rundingan pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) perlu dibuat secara praktikal dengan mengambil kira peluang kemenangan di setiap kawasan.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, perbincangan bersama PH yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah diadakan baru-baru ini dan kini hampir dimuktamadkan.
“Kita telah berbincang dengan PH baru-baru ini dan setakat ini perbincangan berjalan baik. Kita akan muktamadkan agihan kerusi tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tuntutan lebih 20 kerusi oleh PH bukan isu luar biasa, namun semua keputusan mesti berpaksikan realiti politik dan kekuatan jentera di lapangan.
“Dalam mana-mana gabungan pun masing-masing akan minta lebih, tetapi kita mesti praktikal. Kawasan yang mempunyai peluang tinggi untuk menang, itulah yang kita minta supaya peluang kemenangan lebih besar,” katanya.
Hajiji menegaskan, kerjasama antara GRS dan PH bukan sekadar perkongsian kuasa, sebaliknya satu bentuk tanggungjawab bersama dalam memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negeri.
“Ini adalah kerjasama antara parti politik dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Sekarang kerajaan negeri dibentuk oleh GRS dan PH, jadi kita teruskan kerjasama ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap suara dan keperluan anak muda yang kini membentuk lebih separuh daripada jumlah pengundi di Sabah.
“Saya berpeluang menjelaskan kepada anak-anak muda mengenai hala tuju dan pencapaian kerajaan selama lima tahun ini.
“Program seperti ini amat penting supaya mereka tahu apa yang telah kita lakukan dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih,” katanya.