KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 akan dibuka mulai Isnin ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata permohonan itu melibatkan semua kategori iaitu Kategori 1A (anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, serta petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan Kategori 1C (agensi atau organisasi).
Katanya, semua permohonan undi pos perlu dibuat secara dalam talian melalui pautan https://myspr.spr.gov.my.
“Pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos perlu mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Shahril berkata, tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kemudian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan proses undi pos untuk menghubungi SPR di talian 03-8892 7080 atau 03-8892 7218.