Shafie buka pekung, tunduk akur terima pemberian khas RM53.4 juta – PBS

 

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara tidak langsung membuka pekung sendiri apabila mengakui kerajaan pimpinannya sebelum ini hanya menerima pemberian khas RM53.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 2019.

Naib Presiden PBS, Datuk Arthur Sen, berkata pengakuan itu jelas menunjukkan bekas Ketua Menteri itu tunduk dan akur terhadap keputusan Putrajaya. 

Katanya, ia sekali gus gagal memperjuangkan hak sebenar negeri Sabah seperti yang sering dilaungkan parti Warisan.

Menurutnya, alasan Shafie kononnya jumlah itu berpunca daripada hutang tinggi Kerajaan Persekutuan langsung tidak munasabah.

"Sekarang, ketika hutang dan liabiliti negara sudah mencecah RM1.69 trilion, kerajaan tetap mampu menyalurkan RM600 juta kepada Sabah melalui Belanjawan 2026.

“Sebaliknya, ketika tahun 2019, hutang kerajaan Persekutuan hanyalah RM792.9 bilion, namun beliau (Shafie) hanya akur dengan pemberian RM53.4 juta. 

"Ini membuktikan beliau tidak bersungguh memperjuangkan hak negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arthur berkata, selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran pada September 2020, pemberian khas kepada Sabah meningkat ketara daripada RM120 juta, kepada RM300 juta, dan kini RM600 juta hasil pendekatan berhemah serta diplomasi matang di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, peningkatan besar itu adalah bukti nyata bahawa GRS berjaya membuka ruang rundingan lebih konstruktif dengan kerajaan pusat, berbanding pentadbiran Warisan yang hanya pandai beralasan.

“GRS berdepan tiga Perdana Menteri berbeza iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun tetap berjaya meningkatkan jumlah pemberian khas kepada negeri ini.

“Shafie pula hanya berurusan dengan seorang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi hasilnya amat mengecewakan,” katanya.

Arthur turut menegaskan, kenyataan Shafie jelas menunjukkan kelemahan sebenar pentadbiran Warisan yang mudah tunduk kepada tekanan kerajaan pusat dengan alasan ekonomi.

“Ini membuktikan Warisan bukan penuntut hak Sabah yang berkesan. Mereka hanya berani bersuara ketika menjadi pembangkang, tetapi bila berkuasa, mereka gagal bertindak.

“Fakta tidak menipu kerana di bawah GRS, Sabah menerima peningkatan ketara. Ini hasil keberanian berunding, bukan alasan,” katanya.

Sebelum ini, Shafie menjelaskan kadar pemberian khas RM53.4 juta ketika beliau menjadi Ketua Menteri disebabkan hutang tinggi kerajaan pusat, sambil menafikan tuduhan bahawa beliau tunduk dalam memperjuangkan hak negeri.

Namun, kenyataan itu mengundang reaksi balas pemimpin GRS termasuk Datuk Armizan Mohd Ali, yang mempersoalkan tindakan kerajaan Warisan menerima jumlah yang jauh lebih rendah sedangkan sebelum itu lantang mengkritik Barisan Nasional (BN) kerana mengekalkan kadar RM26.7 juta selama lebih empat dekad.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama