Pempengaruh langgar undang-undang akan diambil tindakan tegas – Fahmi

 

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi amaran tegas bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pempengaruh media sosial yang menghasilkan kandungan melanggar undang-undang dalam akta Komunikasi. 

Menurut beliau, hal itu termasuk kepada perbuatan tidak senonoh dilakukan sesuka hati di tempat awam.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk mengenal pasti individu terlibat dalam kes terbaharu yang membabitkan pempengaruh melakukan aksi tidak sopan di hadapan sekolah.

“Saya telah serahkan kepada pihak MCMC untuk mengenal pasti influencer dalam kes yang saya sebutkan itu untuk dipanggil dan diambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program penyerahan surat pelantikan Panel Penasihat Nadi di sini, hari ini.

Fahmi berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya perbuatan mana-mana pempengaruh jelas melanggar undang-undang negara, khususnya yang melibatkan gangguan terhadap pelajar atau unsur amang seksual.

“Tindakan pempengaruh sama ada yang memang menghasilkan kandungan atau menjual produk, sekiranya menyalahi undang-undang, maka tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan semua pempengaruh dan pencipta kandungan agar lebih berhemah ketika menerbitkan bahan kandungan di media sosial. 

“Kita perlu berhati-hati dengan kandungan yang kita hasilkan supaya ia tidak melanggar undang-undang dalam Malaysia,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama