KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, tampil ‘menjawab semula’ Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berhubung isu 40 peratus pemberian khas kepada Sabah, selepas video lama perbahasan Parlimen kembali ditularkan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, tuduhan kononnya beliau mengelirukan Dewan Rakyat adalah tidak benar dan berat kerana jika benar, beliau sepatutnya sudah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12).
“Selama ini saya diam sebab hormat pada rakan dalam kerajaan Madani. Tapi bila video itu ditularkan semula, saya kena jelaskan perkara sebenar.
“Tuduhan saya mengelirukan Dewan langsung tidak berasas. Peraturan Dewan jelas kalau benar, sudah tentu saya dikenakan tindakan,” katanya.
Armizan berkata, 40 peratus pemberian khas itu adalah hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya sekadar angka atau isu politik.
“Jangan hanya pegang Perlembagaan, tapi rajin baca dan faham. Ini hak rakyat Sabah, Jangan sampai pemimpin Sabah sendiri keliru dan mengelirukan orang lain,” tegasnya.
Pada 14 Oktober lalu, Madius di Dewan Rakyat menyatakan penghargaan kepada kerajaan atas langkah meningkatkan pemberian khas di bawah Bahagian IV dan Fasal (2) Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan daripada RM300 juta kepada RM600 juta.
Namun bagi Armizan, isu utama bukan sekadar jumlah, tetapi prinsip hak Sabah itu sendiri.
“RM26 juta, RM53 juta atau RM600 juta itu cuma angka. Tapi hak 40 peratus ini mesti diperjuangkan dengan kefahaman yang betul. Kalau pemimpin sendiri keliru, bagaimana rakyat mahu faham?” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah perlu berdasarkan fakta dan perundangan, bukan sekadar retorik politik.
“GRS rumah kita, kita jaga. Jangan kasi malu orang Sabah,” katanya.
