![]() |
| Ramlan mengumumkan tarikh penting PRU Dun Sabah ke-17. |
KOTA KINABALU : Seramai 1,784,843 pengundi berdaftar dijangka akan menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata sejumlah 73 kerusi dipertandingkan selepas pembubaran rasmi DUN Sabah ke-16 pada 6 Oktober lalu.
"Beberapa tarikh penting telah ditetapkan termasuk hari penamaan calon pada 15 November, hari undi awal pada 25 November, manakala hari pengundian utama pada 29 November.
"Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari dan berakhir pada 28 November jam 11.59 malam. Buat masa ini, keputusan mengenai undi pos masih belum diputuskan.
"Jadi, pengundi Sabah yang berada di luar negeri perlu pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya dalam sidang media di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, pada Khamis.
Sementara itu, SPR memaklumkan seramai 33,002 petugas pilihan raya akan dilantik bagi mengendalikan proses pengundian yang melibatkan 940 pusat mengundi dan 3,645 saluran mengundi di seluruh negeri.
"Sebanyak 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 196 Penolong Pegawai Pengurus akan dilantik bagi memastikan kelancaran urusan pilihan raya.
"Selain itu, penubuhan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon.
"Bagi tujuan logistik dan pengurusan, sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PP-RU) akan digunakan dengan peruntukan sebanyak RM116.8 juta," ujarnya.
Sebagai usaha menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab, SPR turut melaksanakan kempen “Jom Kita Undi” melalui pelbagai medium termasuk media elektronik, media sosial, siar raya serta pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik seluruh negeri.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
