Sebahagian pemimpin tinggalkan Sri Gaya, mesyuarat masih berlangsung


KOTA KINABALU: Mesyuarat tertutup Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, masih berlangsung meskipun beberapa pemimpin komponen dilihat beredar lebih awal.

Sekitar 9.45 malam, antara yang meninggalkan lokasi ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam.

Tidak lama kemudian, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman, turut keluar diikuti Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Difahamkan mesyuarat yang bermula jam 7 malam itu dihadiri semua parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), PBS, STAR, SAPP, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), PCS, USNO dan Liberal Democratic Party (LDP).

Pengamal media berkampung di hadapan Sri Gaya sejak 7 malam menunggu perkembangan mesyuarat yang dipercayai membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setakat ini, beberapa lagi pemimpin utama difahamkan masih berada dalam kediaman rasmi Ketua Menteri.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama