Projek pembesaran Kem Paradise dijangka siap lebih awal, RKAT menyusul - Ahmad Maslan


Kota Belud: Projek pembesaran Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia RAMD di Kem Paradise yang bernilai RM179.7 juta kini siap 10 peratus, iaitu lima hari lebih awal daripada jadual.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 4 Ogos 2027 selepas dimulakan pada 2 Mei tahun lalu.

Menurutnya, pembesaran itu akan meningkatkan kapasiti kem daripada 311 anggota kepada 1,148 anggota sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk Kota Belud.

“Apabila dicampur dengan keluarga anggota tentera, ia akan menambah jumlah penduduk dan memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan,” katanya ketika melawat tapak projek Kem 5 Briged dan Kem 19 RAMD di Kem Paradise, di sini.

Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya melalui JKR manakala Kementerian Pertahanan bertindak sebagai pemilik.

Katanya, pembesaran kem itu juga akan disusuli dengan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bagi menyediakan kemudahan perumahan lebih selesa kepada warga tentera dan keluarga mereka.

Beliau turut menekankan lima prinsip “5T” iaitu turun padang, teknologi, time management, teamwork dan terbaik bagi memastikan projek dilaksanakan secara cekap dan berkualiti.

“Cabaran seperti batu-batuan besar di kawasan pembinaan akan ditangani dengan melibatkan konsultan bidang perlombongan. Projek ini juga dipantau secara mingguan dan bulanan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama