PRN17: DAP Sabah panggil mesyuarat tergempar hujung minggu ini



KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hujung minggu ini.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata tujuan mesyuarat itu bagi merangka strategi dan membuat beberapa keputusan penting menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung.

Tambahnya lagi, mesyuarat itu akan melibatkan Jawatankuasa Tertinggi DAP Sabah bagi membincangkan hala tuju parti itu, termasuk persiapan jentera menghadapi pilihan raya.

“Saya selaku Pengerusi DAP akan memanggil satu mesyuarat tergempar hujung minggu ini. Kita akan membuat beberapa keputusan dan juga rangkaan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau dalam masa sama meminta semua pihak bersabar sebelum sebarang keputusan rasmi diumumkan kepada media.

Dalam pada itu, DAP menyasarkan untuk bertanding antara enam hingga lapan kerusi pada PRN akan datang, termasuk mempertahankan kerusi yang disandang ketika ini.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sasaran berkenaan menumpukan kepada kawasan bandar dan separa bandar yang menjadi kekuatan tradisi parti itu.

“Kita menyasarkan enam hingga lapan kerusi, termasuk mempertahankan kerusi-kerusi yang kita ada sekarang.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Pakatan Harapan, kita akan bincangkan kemudian,” kata Phoong.

Beliau turut memaklumkan rundingan lanjut antara DAP Sabah dan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) akan diadakan dalam masa terdekat bagi memuktamadkan agihan kerusi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama