![]() |
| KENANGAN...Ewon(tengah) bergambar bersama tetamu jemputan dan wakil koperasi di Sabah. |
KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama menyediakan biasiswa kepada pelajar dari negeri ini untuk melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan pendidikan anak-anak Sabah khususnya dalam bidang koperasi.
“Saya amat menghargai komitmen dan kerjasama kerajaan negeri Sabah yang menyediakan 35 biasiswa kepada pelajar dari negeri yang ingin melanjutkan pengajian di UKKM.
"Perbincangan dengan kerajaan Sarawak dan beberapa kerajaan negeri lain di Semenanjung juga telah diadakan supaya turut mempertimbangkan penyediaan biasiswa melalui yayasan negeri masing-masing bagi pelajar yang ingin menuntut di UKKM,” katanya kepada media selepas Majlis Hi-tea dan Pelancaran Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA, pada Khamis.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang memaklumkan Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA bertujuan membantu para pelajar daripada kalangan anak-anak ahli koperasi negeri ini.
"Sejak tahun 2000 hingga kini Yayasan ANGKASA telah menyalurkan bantuan pembiayaan pendidikan kepada 1,898 pelajar di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM34.9 juta.
“Daripada jumlah itu, 14 pelajar dari Sabah telah menerima manfaat berjumlah RM183,000.
“Pelancaran tabung pendidikan ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan gerakan koperasi membantu anak-anak ahli koperasi, khususnya di Sabah," ujarnya.
Selain itu, di peringkat KUSKOP, Ewon bersetuju supaya sumbangan kepada Yayasan Angkasa oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ditambah daripada RM500,000 kepada RM1 juta tahun ini.
“Kalau tahun lepas kita menyalurkan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Koperasi sebanyak RM500 ribu, pada tahun ini kita bersetuju menyalurkan RM1 juta iaitu tambahan sekali ganda.
"Supaya Yayasan Angkasa dapat membantu lebih ramai lagi anak-anak dari kalangan ahli koperasi yang memerlukan bantuan khususnya dari kalangan B40 ataupun keluarga yang berhadapan dengan cabaran untuk menampung yuran pengajian anak-anak di kampus,” ujarnya.
Turut hadir, Presiden Yayasan ANGKASA Datuk Seri Dr. Abdul Fatah Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Angkasa Negeri Sabah, Dr. Zhamriee GulamRasul.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
