Ewon ketika ditemui media di Sabah Electricity Vendor Day 2025.
KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) menjadi syarikat peneraju di Sabah menyertai Program Pembangunan Vendor (PPV) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selepas pemeteraian perjanjian persefahaman dengan kementerian tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata di bawah PPV, KUSKOP menyediakan geran sokongan sehingga RM1.2 juta kepada mana-mana syarikat vendor yang memperoleh kontrak atau perolehan daripada syarikat peneraju untuk Program Pembangunan Inovasi dan Program Pembangunan Kapasiti syarikat vendor.
“Setakat hari ini, SE menjadi syarikat yang ke-39 mengadakan MoU dengan KUSKOP.
“Pemeteraian MoU itu juga adalah antara hasil pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya perkenalkan di KUSKOP bagi membangunkan keperluan khas usahawan di Sabah dan Sarawak.
“Kementerian juga sedang berbincang dengan Sarawak Energy dan berharap mereka juga akan menandatangani MoU ini seterusnya menjadi syarikat ke-40 dan yang pertama dari Sarawak menyertai program anchor KUSKOP,” katanya kepada media selepas merasmikan Sabah Electricity Vendor Day 2025 di sini, pada Khamis.
Melalui MoU ini, vendor bumiputera yang berdaftar dengan SE layak menerima pelbagai bentuk sokongan termasuk bimbingan latihan, pembangunan teknikal, khidmat nasihat keusahawanan serta bantuan penyelidikan dan pengkomersialan melalui Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) dan Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV).
Tambah Ewon, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak tujuh syarikat bumiputera di Sabah yang menjadi vendor kepada lima syarikat peneraju sedia ada menerima geran PPKV dan GPPV daripada KUSKOP.
“Bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KUSKOP menyasarkan 120 syarikat vendor Bumiputera di seluruh negara akan menerima manfaat daripada geran tersebut termasuk 15 syarikat disasarkan daripada Sabah,” ujarnya.
Menurut beliau, SE juga layak menerima insentif potongan cukai dua kali ganda (Double Deduction Tax Incentive) selepas dilantik sebagai syarikat anchor bagi PPV.
“KUSKOP komited memastikan pembangunan usahawan di Sabah dan Sarawak terus diperkasa agar mereka berdaya saing, inovatif dan mampu menembusi pasaran nasional serta serantau,” katanya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SE, Saadiah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
