KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi lokasi rasmi bagi penganjuran Persidangan IEEE Region 10 (TENCON 2025) yang bermula pada Isnin, menghimpunkan pakar teknologi dan penyelidik dari pelbagai negara.
Naib Canselor UMS, Datuk Kassim Md. Mansur berkata, pemilihan Kota Kinabalu sebagai tuan rumah mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan Sabah dan UMS dalam menganjurkan acara berprestij bertaraf antarabangsa.
“Keindahan semula jadi Sabah. Bermula dari hutan hujan tropika hingga ke puncak ikonik Gunung Kinabalu telah menjadi simbol kepada usaha kita mencapai puncak kejayaan baharu. Semoga suasana ini memberi inspirasi untuk kita bersama-sama mengangkat teknologi ke tahap lebih tinggi sepanjang persidangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan IRE Wilayah 10 (TENCON) 2025 yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Rosalam Sarbatly selaku wakil.
Menurutnya, tema persidangan ‘Unleashing Innovation: Elevating Technologies to New Horizons’ selaras dengan aspirasi UMS untuk memajukan teknologi demi kesejahteraan masyarakat.
“Teknologi ialah pemacu kemajuan negara. Melalui persidangan ini, kita bukan sahaja bertukar idea, tetapi turut memperkukuh jalinan antara dunia akademik, industri dan komuniti global,” ujarnya.
Tambah beliau, UMS komited untuk terus memupuk budaya penyelidikan dan inovasi melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta industri tempatan dan antarabangsa.
“Persidangan ini dapat direalisasikan hasil kerjasama erat antara IEEE Region 10, IEEE Malaysia Section, dan IEEE Malaysia Sabah Sub-Section, dengan sokongan padu daripada UMS, serta rakan-rakan strategik dalam kerajaan dan industri,” tambahnya.
TENCON 2025, anjuran IEEE Region 10 dengan kerjasama IEEE Malaysia Section dan IEEE Malaysia Sabah Sub-Section, merupakan platform antarabangsa yang mengumpulkan ahli akademik, pengamal industri, pembuat dasar dan inovator untuk berkongsi penemuan serta membincangkan hala tuju teknologi masa depan.
 
