![]() |
| Dato' Puteh Hidayah Abd Rahim sewaktu ditemui wartawan selepas Taklimat Petugas Media bagi Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 |
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Akademi Pilihan Raya (APR) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) memperkukuh jalinan kerjasama bersama pengamal media di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.
Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya, Dato’ Puteh Hidayah Abdul Rahman, berkata program Taklimat Petugas Media bagi Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung di Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah (KKPS) hari ini menjadi platform penting bagi memperjelas peranan serta tanggungjawab media sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Katanya, sesi libat urus itu turut memberi kefahaman kepada pengamal media mengenai istilah serta prosedur rasmi pilihan raya bagi memastikan pelaporan yang disiarkan lebih tepat dan tidak mengelirukan masyarakat.
“Capaian hari ini sangat baik. Kita dapat berkongsi maklumat berkaitan proses pilihan raya supaya pihak media lebih memahami dengan jelas termasuk istilah yang betul digunakan dalam liputan mereka.
“Sebab itu, kita mahu pelaporan di media menggunakan istilah yang tepat,” katanya ketika ditemui selepas taklimat berkenaan.
Beliau berkata, program itu turut memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai 'do and don’ts' sepanjang tempoh pilihan raya.
Perkara ini amat penting sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi mengikut peraturan yang ditetapkan SPR.
“Selain itu, pihak UKK juga membuat perbentangan berhubung perhubungan antara media dan SPR termasuk meneliti masalah atau kekangan yang dihadapi media sebelum ini,” jelasnya.
Menurutnya, segala cadangan penyelesaian dan maklum balas daripada media diambil perhatian untuk ditambah baik bagi memastikan pengurusan PRN ke-17 berjalan dengan lebih lancar.
“Segala input ini penting bagi kami untuk memperbaiki komunikasi dan urusan antara SPR serta media menjelang PRN Sabah nanti,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media di Sabah yang sentiasa bekerjasama dan memainkan peranan besar dalam memastikan ketelusan maklumat serta kejayaan setiap proses pilihan raya.
