Remaja lelaki 18 tahun cuba terjun bangunan diselamatkan rakan di Putatan

Gambar ihsan Bomba 


PUTATAN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan cuba terjun dari tingkat dua Wisma Seri Kejura, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan pantas rakan-rakan mangsa berjaya menghalangnya daripada terjun dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 malam sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera CFRT dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan kami mendapati seorang lelaki berada di tingkat dua bangunan dan telah berjaya dipegang oleh rakan-rakannya sebelum sempat terjun.

“Pasukan bomba kemudian bertindak menenangkan mangsa serta memastikan kawasan di tingkat dua berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut sebaik keadaan kembali terkawal.

Anggota PDRM serta pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi kejadian untuk menilai keadaan mangsa.

“Pihak bomba mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan berisiko tinggi ketika berdepan tekanan emosi dan dinasihatkan segera mendapatkan bantuan kaunseling atau pihak berwajib," tegasnya.

Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan berada dalam keadaan stabil.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama