Anak Ellron dipilih calon STAR DUN Tulid PRN

 

KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jordan Jude Ellron, disahkan bakal bertanding mewakili parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jordan yang juga anak kepada penyandang DUN Sook, Datuk Ellron Angin, menyifatkan pemilihannya sebagai satu penghargaan besar dan bukti kepercayaan kepimpinan tertinggi STAR terhadap golongan muda untuk membawa suara baharu dalam politik Sabah.

“Saya sangat berterima kasih kepada Presiden kerana memberikan peluang kepada saya untuk menjadi calon mewakili Parti STAR.

“Saya akan membawa hasrat Sabah for Sabahan, khususnya untuk orang muda. Terima kasih juga kepada Presiden kerana umum awal supaya saya ada masa untuk bekerja dan menyediakan jentera di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, tindakan STAR meletakkan calon muda membuktikan parti itu serius dalam memberi ruang kepada generasi baharu untuk turut sama memacu perjuangan politik negeri.

“Ini bukan sekadar kemenangan anak muda, tetapi langkah ke depan bagi STAR untuk menggantikan generasi veteran dengan kepimpinan baharu.

“Kita hormati pemimpin lama, namun pada masa yang sama perlu bergerak seiring agar tenaga baharu juga diberi peluang,” katanya.

Mengulas perbandingan pendirian politik dengan bapanya yang kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jordan menegaskan bahawa perbezaan ideologi tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan.

“Keluarga tetap keluarga, ideologi tetap ideologi.Walaupun lidah sentiasa bersama kita, kadang-kadang tergigit juga. Tapi itu tidak bermaksud kita menjauh, cuma berbeza pandangan,” katanya.

Jordan turut menegaskan bahawa perjuangannya adalah memastikan Sabah berdiri kukuh seperti Sarawak tanpa dikawal pengaruh luar.

“Kita tidak mahu pendekatan lama pemimpin Semenanjung yang mahu memegang Sabah. Mereka tidak mahu Sabah jadi seperti Sarawak kerana mereka tidak dapat kawal pemimpin di sana. Tapi STAR akan terus perjuangkan hak Sabah,” katanya tegas.

Beliau berkata, persiapan jentera di kawasan N44 Tulid kini berada pada tahap terbaik dan beliau bersedia menghadapi PRN akan datang.

“Kawasan yang saya selesa bertanding ialah N44 Tulid. Jentera sudah ada, markas pun sudah siap. Tinggal tekan butang saja,” katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama