![]() |
Masidi (dua dari kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian pada majlis tersebut. |
KOTA KINABALU: Projek Jesselton Docklands bernilai RM4.2 bilion di kawasan tepi laut bandaraya bakal menjadi pemacu perubahan sebenar ekonomi Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pembangunan di atas tanah prima seluas 35 ekar, yang juga tapak bekas Pelabuhan Kota Kinabalu, akan menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan, menarik pelaburan, merangsang pelancongan dan memberi limpahan ekonomi merentasi pelbagai sektor daripada pembinaan hinggalah kepada runcit, makanan, minuman serta perkhidmatan tempatan.
“Ia akan mengubah landskap tepi laut bandar ini kepada sebuah kawasan bandar moden, ceria dan mampan. Majlis pecah tanah Jesselton Docklands menandakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi berterusan tepi laut bersejarah Kota Kinabalu,” katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut di Jesselton Docklands Live Lab di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Menurut Hajiji, transformasi itu turut merangkumi pemindahan terminal penumpang utama ke terminal sementara South Jetty, sekali gus membuka jalan untuk pembinaan terminal feri bertaraf antarabangsa yang canggih.
“Kemudahan baharu ini pasti akan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kecekapan para pengembara, di samping melengkapi Terminal Persiaran Antarabangsa yang dirancang di bawah pelan induk Jesselton Docklands.
"Peningkatan tersebut akan mengukuhkan kedudukan Kota Kinabalu di peta dunia sebagai pintu masuk utama persiaran dan feri, sekaligus mengukuhkan reputasi negeri sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia," jelasnya.
Projek Jesselton Docklands yang dibangunkan bersama dengan BEDI Development akan menampilkan antaranya terminal persiaran antarabangsa khusus, hotel, kediaman, presint budaya dan zon komersial.
"Perkembangan tepi laut ikonik itu juga akan menjadi lebih pesat dengan berlangsungnya fasa kedua usaha sama Suria dengan SBC Corporation Berhad menerusi pembangunan Jesselton Quay.
"Secara keseluruhannya, inisiatif ini akan menyaksikan pembinaan sebuah bandar tepi laut moden yang turut dilengkapi aset utama seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Pusat Konvensyen Kota Kinabalu, dan Terminal Persiaran Antarabangsa pada masa hadapan," ujarnya.
Hajiji menjelaskan, kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan seperti Suria dengan sektor swasta mencerminkan inti pati sebenar perkongsian awam-swasta, di mana aset negeri dan modal swasta bergabung untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan berimpak.
Katanya, pada masa yang sama, projek itu juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, khususnya teras strategik pertumbuhan ekonomi, kemampanan, dan keterangkuman sosial.
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji BEDI Development dan Suria atas sumbangan masing-masing sebanyak RM100,000 bagi usaha bantuan selepas banjir dan bencana alam baru-baru ini.
Turut hadir, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu,Sabin Samitah, Pengarah BEDI Devepoment Sdn. Bhd, Kong Chung Vui serta Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Faisyal Yusof Hamdain Diego.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)