![]() |
Tertuduh, diiring anggota polis sebaik pengakuannya direkodkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. Foto | SS. |
TAWAU : Seorang lelaki yang dipelihara sebagai anak angkat sejak kecil tergamak merogol kanak-kanak perempuan bawah umur yang juga adik angkatnya dalam kejadian di sebuah kampung dekat Semporna bulan lalu.
Tertuduh pendatang asing tanpa izin ( PATI) berusia 33 tahun itu, mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dibacakan dihadapkan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Faizadh Yahaya.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, warga Indonesia itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun yang masih bersekolah dirumah mangsa kira-kira jam 4.30 pagi, pada 22 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun tidak menawarkan sebarang jaminan dan Mahkamah menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa yang sedang tidur terjaga selepas menyedari badannya diraba sebelum tertuduh bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu.
Selepas kejadian, tertuduh melarikan diri keluar dari rumah.
Mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada 27 September lalu sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Semporna berjaya menahan tertuduh pada hari yang sama.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh adalah anak angkat yang dipelihara keluarga mangsa sejak berusia 11 tahun.