Masjid, surau di Sabah anjur solat hajat doa selamat misi flotilla

KOTA KINABALU: Semua masjid dan surau di seluruh Sabah diarahkan melaksanakan solat hajat khas serta doa selamat hari ini sebagai solidariti terhadap keselamatan 13 warga Malaysia dan seluruh kru sukarelawan Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang kini dalam pelayaran ke Gaza.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani, berkata pelaksanaan solat hajat itu menyahut saranan Ketua Menteri Sabah supaya masyarakat mengetepikan perbezaan ideologi dan bersama mendoakan keselamatan serta kejayaan misi berkenaan.

Menurutnya, arahan itu disampaikan kepada semua pengerusi jawatankuasa masjid dan surau melalui Pegawai Tadbir Agama Daerah bagi memastikan pelaksanaan di seluruh negeri berjalan serentak.

“Maklumat terkini mendapati terdapat sedikit musibah dan halangan dihadapi apabila lima kapal misi dilaporkan terputus hubungan, termasuk penahanan aktivis yang melibatkan anak Sabah.

“Sehubungan itu, solat hajat dan doa selamat akan dilaksanakan selepas solat fardhu Zohor dan Maghrib di masjid serta surau seluruh Sabah pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jumain berkata, pihaknya berharap semua umat Islam di negeri ini dapat bersama-sama menzahirkan doa agar tahanan dapat dibebaskan dengan selamat serta misi kemanusiaan itu berjaya sampai ke destinasi dengan penuh keberkatan. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama