KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Ellron Angin bersama empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu akan terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun ini
Perkara terbabit disahkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor selepas Presiden STAR, Datuk Seri Dr GJeffrey Kitingan memutuskan untuk keluar daripada gabungan terbabit, baru-baru ini.
"Mereka telah memaklumkan kepada saya mereka menyokong GRS," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Selain Ellron, tiga lagi ADUN STAR iaitu Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Robert Tawik (Bingkor); Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengulangi pendirian pihaknya bahawa keanggotaan STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam GRS telah terbatal secara automatik.
Ini berikutan baru-baru ini, beliau mengadakan mesyuarat bersama STAR dan SAPP dimana kedua-dua parti terbabit membuat keputusan untuk bertanding dengan menggunakan logo sendiri.
"Bagaimanapun ini tidak terguna pakai kepada Pakatan Harapan," katanya.