PRN17: Hajiji ingatkan pimpinan Gagasan Rakyat pastikan kemenangan calon GRS-PH


KOTA KINABALU: Pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di semua peringkat diingatkan untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasamanya, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) kelak.

Presiden Gagasan Rakyat merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerjasama semua pimpinan parti, termasuk Ketua Bahagian sangat penting bagi memastikan kemenangan GRS untuk kembali menerajui kerajaan negeri.

Menurutnya, pilihan raya pada kali ini sangat kritikal kepada GRS berikutan pelbagai tekanan daripada pihak pembangkang.

"Kita akan menghadapi pilihan raya yang paling kritikal, jadi saya minta semua Ketua Bahagian dan pimpinan empat peringkat Gagasan Rakyat supaya tolong calon yang dililih oleh parti, tolong calon yang ditetapkan rakan kita, PH.

"Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya tahu kita menghadapi tekanan yang begitu hebat, lebih-lebih lagi saya sendiri, termasuk dalam soal memilih calon.

"Tapi, kita mesti ada tolak ansur dan pengorbanan. Apa juga keputusan parti, kita mesti junjung dan hormati, kita beri kerjasama kerana yang penting ialah kita mesti menang dan jadi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan GRS bersama rakan kerjasamanya PH untuk kembali diberi mandat pada PRN17.

"Kita sudah sedia dengan jentera pilihan raya GRS dan saya amat yakin jika kita bersatu, kita akan mencapai kejayaan pada pilihan raya itu nanti," katanya.

Menurutnya, kerajaan GRS sudahh berusaha melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah dengan sebaik mungkin.

Katanya, pihak pembangkang disifatkan sengaja menafikan kejayaan terbabit.

"Pembangkang bercakap macam -macam tuduhan kepada kita, terutama saya dituduh siang malam.

"Mereka cakap kerajaan ini gagal, tapi apa gagalnya kalau kita dapat mentadbir negeri dengan baik, malah memperkenalkan hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah.

"Gagalkah kita kalau dulu kutipan negeri hanya RM4 bilion, tapi sekarang naik kepada RM7 bilion dan tahun depan dijangka lebih lagi daripada RM7 bilion.

"Gagalkah kita apabila kita berjaya memeterai perjanjian dengan PETRONAS hingga banyak yang kita dapat manfaat dalam memajukan industri minyak dan gas," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama