PBS sedia bantu jentera ADUN STAR kekal dalam GRS hadapi PRN

 

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan kesediaan untuk mengetuai jentera pilihan raya bagi lima penyandang kerusi DUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN-17 ini.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Biro Politik PBS yang dipengerusikan Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

“PBS di lima kawasan terbabit iaitu Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan dan Tulid akan mengadakan perbincangan dengan penyandang kerusi masing-masing bagi menyelaras gerak kerja pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lima penyandang berkenaan ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).

Joniston berkata, kawasan itu antara kubu kuat PBS yang mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera parti yang aktif.

Menurutnya, dengan gabungan sumber dan kerjasama erat, PBS yakin GRS dapat mengekalkan momentum serta keyakinan pengundi pada PRN nanti.

“Kita sudah lama bekerjasama di peringkat akar umbi dan hubungan ini akan terus diperkukuh atas semangat perpaduan dalam GRS.

“Sokongan PBS terhadap calon STAR itu juga mencerminkan komitmen parti untuk memperkukuh kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan rakyat di negeri ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama