KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) bertegas dengan pendirian dengan mengambil pendekatan untuk kekal mesra dengan kerajaan Persekutuan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kelak.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya ketika ini juga bersikap mesra dengan Kerajaan Perpaduan, selain memaklumkan adiknya kini menyandang jawatan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan.
“Kami mesra dengan Sarawak, kami juga mesra dengan Persekutuan. Adik saya pun Timbalan Menteri di Persekutuan.
“Saya sudah lama menjalin hubungan baik dengan semua rakan pemimpin kerajaan sedia ada, sama ada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat.
“Cuma apa yang saya nyatakan, kami mahu mentadbir Sabah kerana orang Sabah tahu apa yang terbaik untuk negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bertempat di bangunan Ibu Pejabat WARISAN, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu turut menjadikan hubungan kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan sebagai contoh kerjasama harmoni masih boleh terjalin.
“Kalau di Sarawak, meskipun PKR dan DAP merupakan pembangkang di negeri itu, menteri-menteri Persekutuan tetap boleh turun ke sana.
“Abang Johari (Premier Sarawak) bukan daripada PKR, tetapi hubungan dengan kerajaan pusat tetap baik.
“Jadi, kenapa pula bila di Sabah, WARISAN dianggap jahat atau salah kalau mahu bersikap mesra dengan kerajaan Persekutuan?” katanya.
Susulan itu, Mohd Shafie menegaskan matlamat utama pihaknya adalah membina kerjasama dengan rakyat dan bukan untuk mencetuskan perbalahan politik.
“Saya bukan buat jahat. Rakyat perlu lihat dengan teliti apa yang sebenarnya diutarakan oleh WARISAN,” katanya.