FOLUR pacu keseimbangan pertanian, pemuliharaan hutan di Sabah

 

Frederick (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Khalid (dua dari kanan) sambil disaksikan Norlijah (dua dari kiri).

KOTA KINABALU : Projek Sistem Makanan, Guna Tanah dan Pemulihan (FOLUR) menjadi pemacu utama ke arah mewujudkan keseimbangan antara pembangunan sektor pertanian dan pemuliharaan hutan di Sabah.

Ketua Menteri,  Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, matlamat utama projek tersebut adalah untuk memastikan sektor pertanian, khususnya kelapa sawit, dapat berkembang seiring dengan usaha pemuliharaan hutan dan pemulihan ekosistem bagi menjamin kelestarian alam sekitar jangka panjang.

"Projek FOLUR yang disokong oleh Global Environment Facility (GEF) dan dilaksanakan oleh United Nations Development Programme (UNDP) bersama Kerajaan Negeri Sabah itu meliputi kawasan seluas 2.38 juta hektar di 12 daerah, memberi manfaat kepada lebih 54,000 orang.

"Melalui pelaksanaan projek ini, Sabah menyasarkan untuk meletakkan lebih dua juta hektar tanah di bawah pengurusan lestari memulihkan 150,000 hektar hutan serta 50,000 hektar tanah pertanian terdegradasi," katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Jantung Hijau Borneo (HoB): Memperkukuh Ketahanan Iklim, Pemuliharaan dan Mata Pencarian Lestari di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norlijah Danin.

Menurut Hajiji, usaha itu turut dijangka mengelakkan kehilangan 14,000 hektar hutan bernilai pemuliharaan tinggi serta mampu menyerap lebih 10 juta tan karbon dioksida setara, sekali gus menyumbang kepada matlamat iklim negara dan mengukuhkan peranan Sabah sebagai peneraju landskap lestari.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, atas sokongan berterusan terhadap inisiatif Heart of Borneo (HoB) sejak 2009, dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM60 juta kepada Sabah.

"Kerjasama ini mencerminkan keyakinan bersama bahawa melindungi alam semula jadi bukanlah satu beban, tetapi satu tanggungjawab dan peluang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Perhutanan Sabah turut mengemukakan cadangan projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai pengesahan semula komitmen kerajaan negeri terhadap pengurusan hutan mampan dan ketahanan iklim.

Pada majlis tersebut turut diadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memeterai kerjasama antara Jabatan Perhutanan Sabah dengan Borneo Rhino Alliance Berhad (BORA), Panthera Wild Cat Conservation Malaysia Sdn Bhd serta The Wildlife Research Center (WRC), Universiti Kyoto, Jepun  bertujuan memperkukuh penyelidikan, pemuliharaan spesies serta strategi pemuliharaan lestari di Sabah.

Seramai 700 peserta menghadiri persidangan selama dua hari itu yang menampilkan 22 penceramah dalam tiga sesi utama pembentangan berkaitan tindakan iklim, pemuliharaan dan penggunaan lestari sumber hutan.

Hadir sama Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam Datuk Aini Atan serta Penyelaras Serantau (Asia) Kawasan Perlindungan dan Pemuliharaan Sekretariat IUCN, Mohammad Khalid Sayeed Pasha.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama