‘Pok mau potong corner’ - Armizan tempelak Azis Jamman isu pindaan Akta LHDN


KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa dakwaan Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Azis Jamman berhubung pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 adalah tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan rakyat Sabah.

Menurut Armizan, kenyataan Azis yang menuding jari kononnya beliau gagal mempertahankan kepentingan Sabah dalam pindaan akta itu merupakan ‘auta politik’ semata-mata.

“Pindaan terhadap Akta LHDN sebenarnya membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kejayaan perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakyat negeri ini dalam memastikan suara Sabah didengar di peringkat nasional.

“Warisan cuba putar fakta dan buat olahan seolah-olah Sabah diketepikan, padahal pindaan Akta LHDN pada 2023 itu adalah bukti kemenangan GRS dan kemenangan rakyat Sabah.

"Jadi biasalah, pok mau potong corner, carilah perkara yang boleh dipolemikkan. Itu auta Warisan, tapi fakta adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, buat pertama kali sejak pembentukan Malaysia pada 1963, pindaan berkenaan memperuntukkan pelantikan wakil tetap dari Sabah dan Sarawak dalam LHDN, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

“Perkara ini tidak pernah diambil perhatian semasa Warisan mentadbir Sabah dan menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

“Malah, agenda pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN langsung tidak wujud ketika itu,” katanya.

Menurutnya, usaha berkenaan hanya dimulakan selepas pembentukan kerajaan GRS apabila Presiden PBS ketika itu, Datuk Seri Maximus Ongkili, membawa isu tersebut ke dalam Majlis Khas MA63.

“Pelantikan pertama wakil Sabah ke dalam LHDN dilakukan pada 2022 atas cadangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kemudian, pindaan akta dibuat bagi menjadikan pelantikan ini bersifat tetap dalam undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pindaan itu turut memperkukuh semangat federalisme apabila Menteri Kewangan kini diwajibkan berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak sebelum membuat pelantikan.

“Kalau benar Warisan perjuangkan hak Sabah, kenapa isu ini tidak dibawa ketika mereka dalam kerajaan dahulu?

“Sekarang bila GRS dan Kerajaan Madani laksanakan, mereka pula cuba membina persepsi kononnya saya gagal,” katanya.

Armizan turut menyindir Azis yang menurutnya ‘kehabisan modal politik’ dan cuba mencari isu kecil untuk menyerang lawan.

“Saya tidak kisah dituduh gagal, sebab yang penting bukan kemenangan peribadi, tapi kemenangan rakyat Sabah.

“Pindaan ini adalah bukti kita berjaya membawa Sabah ke meja rundingan, bukan hanya di pinggiran,” katanya.

Beliau turut membidas kenyataan Warisan yang didakwa cuba mengalih perhatian daripada isu lebih besar berkaitan kepentingan Sabah termasuk soal sempadan maritim dan hak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“GRS tidak pernah mendabik dada kononnya penyelamat Sabah, tapi kami berpegang pada prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.

“Ini perjuangan bersama untuk memastikan Sabah terus maju dan dihormati dalam Persekutuan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama