Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata siasatan dalaman mendapati ketika pemeriksaan dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada 23 Oktober lalu, Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing tersenarai dalam Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif.
“Ketika disoal pegawai bertugas, individu itu memaklumkan tujuan datang ke Sabah adalah untuk bertemu rakan dan hanya membuat cubaan masuk tanpa mengemukakan sebarang dokumen bagi membuktikan urusan rasmi atau mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah berkata, berdasarkan semakan lanjut, NAS berkenaan dikeluarkan di bawah arahan Pihak Berkuasa Negeri dan hanya membenarkan Tei masuk ke Sabah sekiranya untuk menghadiri prosiding mahkamah.
Namun katanya, kerana tiada surat panggilan atau dokumen rasmi dikemukakan semasa pemeriksaan, pegawai bertugas mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap Tei mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam rekod, individu sama pernah dibenarkan masuk pada September lalu selepas mengemukakan surat panggilan mahkamah kepada pegawai bertugas.
“Ini membuktikan beliau sedar sepenuhnya mengenai prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi berdasarkan status NAS yang dikenakan,” katanya.
Sharifah turut menegaskan dakwaan peguam Tei di Mahkamah Kota Kinabalu kononnya anak guamnya dihalang hadir ke prosiding mahkamah adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Tindakan pegawai pada hari kejadian dibuat berdasarkan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, tanpa pengaruh mana-mana pihak,” katanya.
Beliau menasihatkan mana-mana individu yang tertakluk kepada NAS supaya mematuhi syarat kemasukan dan mengemukakan dokumen sokongan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk negeri.
Katanya, JIM Sabah akan terus komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri terpelihara selain menegakkan prinsip profesionalisme, integriti dan pematuhan undang-undang dalam setiap urusan perkhidmatan.
