Kerajaan negeri terus perkukuh komitmen majukan sukan

 

TAWAU: Kerajaan negeri terus memperkukuh komitmen memajukan bidang sukan di Sabah melalui pelbagai inisiatif, termasuk pembinaan prasarana sukan dan pemberian insentif kepada atlet yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, komitmen itu dizahirkan melalui pelaburan berterusan kerajaan dalam pembangunan sukan, termasuk peruntukan khas untuk mengiktiraf kejayaan atlet.

“Menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa. 

“Kerajaan sentiasa menghargai pencapaian mereka dengan membelanjakan sejumlah besar peruntukan setiap tahun sebagai insentif kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin, pada majlis perasmian Temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau di Stadium Tawau, malam tadi

Hajiji berkata, penganjuran SAGA adalah antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan Sabah tidak ketandusan bakat baharu. 

“Temasya itu juga menjadi platform penting untuk mencungkil atlet pelapis yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kementerian Belia dan Sukan Negeri perlu terus mencungkil lebih ramai bakat muda melalui pelbagai program dan pertandingan di seluruh negeri. Kita mahu sukan menjadi budaya hidup masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan atlet supaya menjadikan SAGA bukan sekadar medan memburu kemenangan, sebaliknya platform menampilkan semangat juang dan keperibadian tinggi.

“Setiap peluh yang tumpah di gelanggang adalah batu asas untuk kejayaan Sabah pada masa hadapan. Binalah nama baik daerah dan negeri kita,” ujarnya.

Hajiji turut menyatakan harapan agar SAGA berkembang menjadi karnival sukan berprestij yang bukan sahaja menarik penyertaan menyeluruh masyarakat, tetapi juga membentuk budaya sukan yang lebih meluas di Sabah.

“Program sebegini bukan sahaja menyumbang kepada rakyat yang sihat dan cergas, tetapi turut memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai atlet muda dan cemerlang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah telah membuktikan keupayaan melahirkan atlet bertaraf tinggi, antaranya Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong (memanah) dan Jonathan John (tinju).

“Mereka bukti bahawa anak-anak Sabah mampu menjadi kebanggaan negeri dan negara,” katanya.

Hajiji turut menyeru semua peserta SAGA XI agar bertanding dengan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi.

“Semoga SAGA Tawau 2025 meninggalkan kenangan manis, menyemai semangat juang dan melahirkan generasi atlet Sabah yang terbilang di persada negeri, negara bahkan dunia,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama