![]() |
Gambar ihsan Bomba |
LAHAD DATU - Tiga maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang dinaiki 6 warga Indonesia terbabas sendiri sebelum terbalik di Batu 18, Jalan Sandau Lahad Datu–Sandakan, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.05 petang menerusi talian kecemasan MERS999.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama satu jentera FRT dan sebuah EMRS dikerahkan ke lokasi sejauh 31 kilometer dari Balai Bomba Lahad Datu.
"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang terbabas sendiri sebelum terbalik.
"Enam mangsa termasuk empat wanita dan dua lelaki warga Indonesia tersepit di dalam kenderaan," katanya.
Menurutnya, anggota bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan khas ‘rescue tools RTA’.
Tiga daripada mereka maut di lokasi kejadian sebelum disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Tiga lagi mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut," ujarnya.
Mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita berusia 36 dan 38 tahun, serta seorang lelaki 41 tahun, kesemuanya warga Indonesia.
Tiga lagi mangsa cedera ialah seorang lelaki berusia 43 tahun serta dua wanita berusia 46 tahun dan 40-an.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.27 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat," katanya lagi.