KOTA KINABALU: Algoritma TikTok boleh menjejaskan kesihatan mental pengguna termasuklah kanak-kanak sekiranya tidak dikawal dengan baik, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurutnya, beliau sendiri mendapati kandungan yang dipaparkan dalam algoritma TikTok boleh berubah secara drastik selepas melakukan carian tertentu.
“Saya buat semakan sendiri dalam TikTok Shop tentang pisau. Selepas membuat carian itu, FYP (For your page) saya tercemar dengan kandungan berkaitan pisau, seolah-olah saya gemar melihat bahan-bahan berkait dengan pisau,” katanya pada sidang media selepas program penyerahan surat pelantikan Panel Penasihat Nadi di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, situasi itu menunjukkan bagaimana algoritma media sosial berupaya membentuk kecenderungan kepada pemikiran negatif pengguna secara halus.
“Ini teguran yang pernah saya berikan kepada pihak TikTok. Algoritma mereka mampu merosakkan pemikiran, pembangunan atau kesihatan mental terutama kanak-kanak sekiranya mereka tidak tahu bagaimana nak menguruskan algoritma ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa susulan hal berkenaan akan dibincangkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam pertemuan dengan beberapa syarikat media sosial utama di Singapura minggu depan.
“Ia berkait dengan isu algoritma dan juga jualan produk seperti pisau serta permainan menyerupai senjata (airsoft).
“Ini sebahagiannya adalah di bawah pemantauan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Pada masa yang sama, memang sebelum ini dalam urusan beberapa perkara berkait jualan sama ada produk atau barangan telarang seperti narkotik, dadah dan sebagainya memang pihak berkuasa yang berwajib KPDN ataupun dari pihak KKM, mereka berkomunikasi dengan MCMC untuk mengambil tindakan,”tambahnya.
