![]() |
| Shahelmey sewaktu ditemui media selepas majlis penyerahan insentif kontinjen Putatan yang menerima pingat pada kejohanan Sabah Games (SAGA) di Pejabat Daerah Putatan, hari ini. |
PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, masih belum memuktamadkan kedudukannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, keputusan mengenai penyertaannya dalam PRN masih dalam pertimbangan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.
"Saya mengambil maklum terhadap perkara itu dan masih dalam proses mempertimbangkan kedudukan politik.
"Hari penamaan calon lebih kurang tiga minggu dari sekarang, jadi masih banyak masa untuk membuat keputusan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan insentif kontinjen Putatan yang menerima pingat pada kejohanan Sabah Games (SAGA) di Pejabat Daerah Putatan, hari ini.
Shahelmey mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang baru-baru ini menyatakan parti itu akan menilai semula calon yang bakal diturunkan dalam PRN Sabah, termasuk kemungkinan memberi laluan kepada muka baharu.
Menurutnya, dalam politik, tempoh tiga minggu menjelang hari penamaan calon merupakan masa yang panjang dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
"Dalam politik ini, tiga minggu adalah jangka masa yang agak lama. Macam-macam boleh terjadi," ujarnya.
Beliau menegaskan, sebarang keputusan yang bakal dibuat perlu berasaskan kepada kepentingan rakyat serta mandat yang akan diberikan kepada pemimpin melalui proses pilihan raya.
"Apa yang penting adalah keputusan yang dibuat mestilah untuk kebaikan. Dalam pilihan raya, asasnya ialah mendapat mandat daripada rakyat.
"Bila tiba hari mengundi, kita serah kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka mahu," katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan bahawa Shahelmey dan Datuk Andi Surady Bandi, Ahli Parlimen Kalabakan, bakal berdepan tindakan.
Saman RM100 juta akan dikenakan sekiranya mereka bertanding atas tiket GRS pada pilihan raya negeri akan datang.
Untuk rekod, Shahelmey dan Andi yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu telah digantung keahlian selama enam tahun selepas tidak menyokong kepimpinan UMNO negeri Sabah ketika episod Langkah Kinabalu pada tahun 2023 yang lepas.
Masing masing menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan kekal bersama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
