616 warga Filipina dihantar pulang melalui pelabuhan Sandakan

 

SANDAKAN: Seramai 616 tahanan warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, pada Khamis. 

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata pemindahan itu melibatkan tahanan daripada empat depot Imigresen iaitu Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau. 

“Daripada jumlah itu, seramai 377 lelaki, 134 wanita, 85 kanak-kanak berumur 2 hingga 12 tahun, serta 20 bayi berumur bawah dua tahun dihantar pulang menaiki Vessel MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan Jabatan Imigresen Negeri Sabah, hari ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 8,956 warga asing telah dipindahkan balik ke negara asal sepanjang tahun ini, menerusi Program Pemindahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). 

“Jumlah tersebut terdiri daripada 6,835 warga Filipina,1,751 warga Indonesia, 221 warga Pakistan, 78 warga China, 34 warga Vietnam, 10 warga India, tiga warga Thailand dan 24 warga lain-lain negara,”kata beliau. 

Beliau berkata, semua tahanan terbabit telah menjalani hukuman di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan memiliki dokumen perjalanan sah (Travel Document, TD) sebelum dibenarkan pulang.

“Proses pemindahan ini bergantung kepada tindakan segera pihak kedutaan dalam mengeluarkan dokumen perjalanan kerana kelewatan boleh menjejaskan tempoh tahanan di depot,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru majikan di Sabah agar menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memantau kehadiran pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.

“Inisiatif ini dapat membantu mengekang isu dokumentasi palsu dan lambakan PATI di Sabah. JIM Sabah akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa majikan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama