Albert Tei bukan pemberi maklumat, tapi dalang cuba bolot hasil bumi Sabah


KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa ahli perniagaan Albert Tei bukanlah pemberi maklumat seperti yang cuba digambarkan, sebaliknya merupakan dalang sebenar di sebalik skandal perlombongan mineral di Sabah.

Nizam berkata, pelbagai tindakan dan dakwaan yang dibuat oleh Tei jelas menunjukkan niat sebenar untuk menguasai sumber mineral negeri ini secara senyap, termasuk dengan memohon lesen cari gali melalui lebih 20 syarikat berbeza melibatkan kawasan seluas hampir satu juta ekar tanah.

“Apabila seorang individu menggunakan lebih 20 syarikat untuk memohon lesen lombong, sudah tentu timbul persoalan dan keraguan terhadap niat sebenar.

“Ini bukan lagi soal pelaburan, tetapi usaha menguasai hasil bumi Sabah untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada media, di sini.

Nizam yang juga pembantu menteri kepada Ketua Menteri (interim) berkata, audit dalaman Sabah Mineral Management (SMM) turut menemui bukti berlakunya pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan individu berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan itu menyebabkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Jontih Enggihon, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan permohonan lesen tersebut, telah ditamatkan perkhidmatan.

“Fakta sebenar ialah skandal ini bukan dilakukan oleh kerajaan negeri, sebaliknya didalangi oleh Albert Tei sendiri.

“Beliau bukan mangsa, tetapi punca utama kepada kekecohan dalam isu perlombongan mineral ini,” katanya.

Nizam turut mendakwa, selepas gagal mendapatkan lesen cari gali, Tei beralih strategi dengan mencipta serangan persepsi dan propaganda politik bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Apabila gagal mendapat kelulusan, beliau menukar pendekatan dengan menggambarkan diri sebagai mangsa dan menuduh kerajaan kononnya melakukan salah guna kuasa.

“Sedangkan hakikatnya, dia cuba menutup salah sendiri,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Tei dalam satu program audio siar baru-baru ini, yang mendakwa kononnya pelaburan mineral di Sabah adalah ‘penipuan besar’, tidak berasas dan hanya bertujuan menjejaskan imej kerajaan negeri.

Nizam menegaskan, video dan bukti komunikasi yang tular sebelum ini menunjukkan tiada salah guna kuasa dilakukan oleh kerajaan negeri atau Ketua Menteri (interim), Datuk Seri Hajiji Noor.

“SPRM sendiri sudah mengesahkan Hajiji tidak terbabit dalam sebarang salah laku.

“Rakyat tidak perlu terpengaruh dengan fitnah dan manipulasi pihak tertentu,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama