TAWAU: Sebanyak 20 saman dikeluarkan polis dalam operasi bersepadu membanteras kegiatan lumba haram di Kilometer 45, Jalan Tawau–Semporna, Ahad lepas.
Operasi yang dijalankan dari jam 5 petang hingga 9 malam itu membabitkan 19 anggota termasuk dua dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, 19 motosikal bersama penunggang lelaki diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah motosikal tanpa cermin sisi, ekzos diubah suai, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada lesen memandu serta aksesori tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, tiada sebarang tangkapan atau sitaan dibuat namun pemeriksaan turut dilakukan melalui sistem MCOP/MCAD.
Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti lumba haram yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Polis mengingatkan anak muda supaya tidak terbabit dengan lumba haram kerana ia bukan sahaja membahayakan diri, malah turut mengancam keselamatan orang lain. Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.
