Hubungan BN, Warisan bukan baharu


LAHAD DATU: Hubungan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan) bukan sesuatu yang baharu apabila kedua-duanya pernah bersama dalam gerakan Langkah Kinabalu dengan matlamat menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata BN yang pada awalnya bersama GRS akhirnya berpaling dengan bekerjasama dengan Warisan untuk meruntuhkan kerajaan dipilih rakyat.

“Mereka cuba merampas kuasa melalui pintu belakang, tetapi ramai wakil rakyat ketika itu bertindak rasional dan menolak politik tidak berkesudahan.

“Apa yang penting ialah kita mempunyai kepimpinan yang mementingkan kestabilan,” katanya selepas merasmikan Malam Kebudayaan sempena Festival Vaganza Etnik (Makanan dan Budaya) Lahad Datu 2025, di sini.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan GRS berjaya membuktikan keikhlasan dan kemampuan mentadbir negeri, selain memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Katanya, pelaburan meningkat, ekonomi berkembang dan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan. 

“Inilah kerajaan yang perlu dipertahankan kerana tidak banyak bercakap atau berjanji, tetapi terbukti memberi manfaat kepada rakyat.

“Berbeza dengan kepimpinan yang hanya pandai berjanji, tetapi gagal menunaikan apabila berkuasa,” katanya 

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah, menyelar dakwaan wujudnya pakatan sulit antara Warisan dan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai manuver politik yang hanya akan menjadikan Sabah sebagai “lembu susu” pihak tertentu.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama