Liew Yun Fah nafi sokongan kepada mana-mana calon, tegaskan laporan media tidak tepat

 

TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah(PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah menafikan dakwaan bahawa beliau menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai.

Katanya, laporan media Suara.TV yang mengatakan bahawa beliau memberi sokongan kepada mana-mana calon adalah tidak tepat dan disalah tafsir. 

“Saya mengesahkan laporan media Suara.TV adalah tidak tepat kerana saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan sokongan kepada mana-mana calon termasuk di Merotai,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, pada Isnin. 

Namun, beliau mengambil maklum terhadap minat media berkenaan dalam mengikuti perkembangan politik di kawasan DUN tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada media kerana prihatin dengan DUN dan suara orang Merotai. Setidaknya, suara orang kampung saya kedengaran sampai di Kuala Lumpur,” jelasnya. 

Liew menjelaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung calon di kawasan berkenaan kerana perbincangan masih dijalankan oleh wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH). 

“Di peringkat GRS pula, kita juga masih dalam perbincangan dan pastinya akan menjaga kepentingan setiap parti komponen yang ada,” tambahnya.

Dalam pada itu, Suara.TV dalam satu penjelasan susulan mengesahkan berlaku kesilapan teknikal terhadap poster asal yang dikeluarkan bersama laporan berkenaan.

“Maaf Tan Sri Liew Yun Fah, ada kesilapan pada poster tersebut. Sepatutnya ada tanda soal seperti dalam artikel asal kerana ia hanya berita bercorak spekulasi. Poster tersebut juga telah diganti,” jelas Suara.TV dalam komen hantaran milik Liew.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama