Shafie akui terpaksa terima pemberian khas rendah kerana hutang persekutuan tinggi


KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan keputusan menerima kadar pemberian khas RM53.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 2019 dibuat kerana kekangan kewangan negara ketika itu, bukannya tanda tunduk dalam perjuangan hak Sabah seperti didakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, kadar itu dipersetujui selepas mengambil kira keadaan kewangan persekutuan yang terhad pada masa berkenaan dan tidak pernah bermaksud Sabah melepaskan haknya untuk menuntut 40 peratus hasil cukai seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita bukan tidak mahu perjuangkan hak Sabah, tetapi pada waktu itu kerajaan pusat berdepan kekangan bajet. Bajet ketika itu sekitar RM200 bilion sahaja berbanding RM400 bilion hari ini.

“Jadi keputusan itu dibuat sebagai langkah sementara. Ia tidak bermaksud kita bersetuju melepaskan hak Sabah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shafie berkata, pemberian khas bukan perkara baharu kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkenaan sepatutnya dikembalikan kepada Sabah tanpa rundingan.

“Bila disebut tentang pemberian khas, ia bukan satu rundingan baru kerana ia hak yang jelas termaktub dalam Perlembagaan. Tapi apa yang kita terima hanyalah RM53.4 juta. Ini bukan jumlah yang sepatutnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan kenyataan Armizan kononnya Warisan ‘tunduk’ menerima kadar rendah adalah tidak tepat kerana keputusan dibuat berdasarkan realiti fiskal ketika itu, bukan kerana kelemahan dalam memperjuangkan hak negeri.

“Kita timbang rasa pada waktu itu, tetapi tidak bermakna kita bersetuju menolak hak Sabah. Saya ulang, kita tidak pernah bersetuju untuk melepaskan hak 40 peratus itu,” tegasnya.

"Kita terima (pemberian khas), cuma kebimbangan jumlah hutang yang meningkat kerana dalam jangka masa lima tahun hutang negara kita RM490 bilion yang perlu diselesaikan.

Katanya, semasa pentadbiran Warisan pada 2019, kerajaan negeri berjaya merunding dan melaksanakan 17 daripada 21 perkara dalam MA63 termasuk memperkukuh pelaksanaan autonomi kehakiman di Sabah dan Sarawak.

“Kita sudah buktikan komitmen kita dalam memperjuangkan hak negeri. Banyak perkara berjaya dilaksanakan ketika kita memerintah,” katanya.

Mengulas lanjut, Shafie menegaskan pelaksanaan hak autonomi Sabah dalam pelbagai bidang perlu diperkasa bagi memastikan pentadbiran dan pembangunan negeri dapat diurus dengan lebih baik tanpa bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.

“Give us the power. Let us manage Sabah and I can prove to you we can do better. Masa kita tadbir dulu, masalah air tidak seteruk sekarang. Hospital dan hotel tidak pernah kekurangan air seperti hari ini,” katanya.

Shafie turut mengingatkan kerajaan interim negeri supaya tidak meluluskan sebarang kontrak baharu sepanjang tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

“Kerajaan sekarang hanyalah kerajaan interim. Tidak sepatutnya ada peruntukan tambahan atau kontrak baharu diluluskan,” katanya.

Sebelum ini, Armizan mendakwa keputusan Warisan menerima kadar pemberian khas RM53.4 juta pada 2019 adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Namun, Shafie menegaskan langkah itu dibuat berasaskan situasi ekonomi negara dan tidak sesekali bermakna Warisan tunduk dalam memperjuangkan hak negeri.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama