TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentangkan manifesto pilihan raya yang realistik, berpaksikan keperluan sebenar rakyat dan pembangunan negeri, bukan sekadar janji politik untuk meraih undi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, tawaran manifesto yang akan diumumkan selepas penamaan calon itu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan mampan, kesejahteraan rakyat serta kesinambungan agenda pentadbiran sedia ada.
“Kita akan bagi tawaran yang baik kepada rakyat kita, yang wajar dan yang logik kerana manifesto ini bukan janji kosong, sebaliknya berpijak di bumi nyata. Ia akan dilancarkan selepas penamaan calon,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat tapak kebakaran di sebuah sekolah agama Islam di Tambunan, hari ini.
Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa prestasi dan rekod pentadbiran kerajaan GRS serta Pakatan Harapan (PH) sepanjang lima tahun lalu akan menjadi sandaran untuk terus diberi mandat oleh rakyat.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai rekod pencapaian yang jelas, bukan hanya dalam pembangunan infrastruktur dan ekonomi, tetapi juga dalam aspek kebajikan rakyat.
Menurutnya, sejak lima tahun lalu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pelaburan dalam sektor ekonomi, pembangunan modal insan dan pendidikan.
“Kita belanjakan RM1.2 bilion untuk pendidikan dalam tempoh empat tahun yang tertinggi dalam sejarah Sabah.
“Selain itu, kita bantu golongan kurang bernasib baik melalui program E-Kasih, termasuk bantuan RM300 sebulan kepada keluarga yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menegaskan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib rakyat apabila beliau turun padang ke lokasi kebakaran di Tambunan.
“Bantuan awal sebanyak RM200,000 telah disalurkan kepada sekolah ini, selain RM50,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.
“Kita juga akan bina semula bangunan sekolah kekal dengan anggaran kos RM8 juta supaya pelajar di sini dapat belajar dengan selesa,” katanya.
Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap aspek pendidikan dan kebajikan rakyat, seiring dengan dasar yang akan terus diperkasakan dalam manifesto GRS.
“Kerajaan negeri akan terus memberi jaminan terhadap kestabilan dan pembangunan rakyat Sabah. Ini bukan janji kosong, tapi keutamaan kami,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam masa terdekat.
GRS dijangka menampilkan calon di semua kerusi yang ditandingi bagi mempertahankan pentadbiran sedia ada.