LAHAD DATU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam keretanya selepas disangka sedang tidur di kawasan parkir berhampiran Masjid Kampung Mesej Nala, Tungku, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata kejadian itu disedari orang awam yang baru selesai menunaikan solat apabila ternampak sebuah kereta diletakkan di kawasan parkir dengan pemandunya tidak bergerak.
Katanya, beberapa individu kemudian menghampiri kereta berkenaan dan mengetuk cermin, namun tiada sebarang tindak balas.
“Mereka membuka pintu dan mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis pada jam 12.55 tengah hari.
“Sepasukan anggota Balai Polis Tungku bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia dan tidak menemui sebarang unsur jenayah pada badan mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes,” katanya.