KOTA KINABALU: DAP Sabah menghormati keputusan bekas pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan bekas setiausaha organisasi, Liau Fui Fui yang mengumumkan keluar parti bersama dua cawangan hari ini.
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jinz Zhe berkata beliau menzahirkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan kedua-dua pemimpin terbabit sepanjang bersama parti serta kepada rakyat Sabah.
“Kami menghargai segala jasa dan usaha mereka selama ini, dan mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan mereka yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Jin Zhe berkata pihaknya kini akan terus memberi tumpuan terhadap usaha menabur bakti kepada rakyat Sandakan serta membawa lebih banyak pembangunan positif kepada komuniti di kawasan berkenaan.
Selain itu, beliau turut memaklumkan telah berbincang dengan Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepemimpinan beliau.
“Saya percaya YB Vivian Wong mampu memperkukuh jentera parti di Sandakan serta memastikan DAP terus menawarkan idea dan perkhidmatan berteraskan rakyat dengan penuh dedikasi di lapangan.
“Bersama-sama, kita akan membuka lembaran baharu yang membawa harapan, ketabahan dan perpaduan untuk seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Hari ini, media melaporkan Ming Fung yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat mendakwa keputusan dibuat selepas menilai pelbagai perkembangan dalaman parti.
Katanya ia selain susulan tindakan kepimpinan tertentu yang menunjukkan wujud agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada di kawasan Tanjung Papat.